JERANTUT – Beberapa kampung di sini hari ini dilanda banjir kilat disebabkan hujan lebat selama lebih empat jam.
Selain itu, dua laluan di Kampung Paya Garok dan Felda Kota Gelanggi di sini turut dinaiki air kira-kira satu meter.
Penduduk Kampung Paya Garok, Mohd. Ramli Jaafar, 50, berkata, air mula naik di kawasan sekitar sejak awal pagi tadi.
“Laluan masuk ke Kampung Paya Garok tidak boleh dilalui kenderaan ringan kerana air melimpah di atas jalan raya.
“Kampung ini sering dilanda banjir apabila air Sungai Jerantut melimpah setiap kali hujan lebat dalam tempoh lama,” katanya.

Ujarnya, setakat ini masih belum ada penduduk kampung yang dipindahkan kerana tiada rumah terjejas akibat bencana itu.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli di Kampung Paya Lintah, Eng Sulung, 30, memberitahu, mereka tidak dapat keluar dari kampung itu kerana jalan dinaiki air.
“Saya keluar dari rumah sejak semalam dan tidak dapat pulang ke rumah kerana jalan tidak boleh dilalui,” jelasnya. – K! ONLINE










