SEREMBAN – “Saya sanggup berbuat apa sahaja walaupun menjadi seorang peminta derma demi anak perempuan saya”.
Itu rintihan bapa kepada wanita Malaysia, Marina Jamaluddin, 39, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun di Nepal kerana kesalahan menjadi keldai dadah.
Jamaluddin Malek, 66, berkata, dia menjadi peminta derma di Seremban sejak dua bulan lalu demi kasih kepada anak selepas tiada lagi pihak tampil membantunya.
Menurutnya, wang ehsan orang ramai itu bagi menampung perbelanjaan makanan dan perubatan anak perempuannya kira-kira RM500 sebulan di penjara berkenaan.
“Penjara di Nepal tidak sediakan makanan halal dan perubatan untuk Marina. Anak sulung saya itu pula mengidap penyakit asma.
“Saya terpaksa meminta derma daripada orang ramai demi anak saya kerana saya tidak bekerja,” katanya ketika ditemui Kosmo! semasa sedang meminta derma di hadapan sebuah restoran di sini hari ini.
Kisah menimpa wanita Malaysia itu pernah mendapat perhatian ramai selepas media melaporkan dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada 6 April 2015.
Akhbar sebelum ini melaporkan Marina ditahan pihak berkuasa Nepal selepas didakwa cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram yang disembunyikan di dalam lima komputer riba.
Jamaluddin berkata, anak perempuannya itu ke Nepal pada pertengahan 2015 bersama suaminya dan anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun ketika itu untuk bercuti.
Kata beliau, selepas beberapa hari di sana Marina meminta suaminya bersama anaknya pulang ke Malaysia terlebih dahulu disebabkan dia ada urusan yang perlu diselesaikan.
Bagaimana pun, katanya, selang beberapa hari selepas itu dia ditahan pihak berkuasa Nepal apabila menemui dadah bersamanya menyebabkan dia dihukum penjara 20 tahun.
Usaha mengumpulkan tandatangan orang ramai juga pernah diadakan bagi menyokong petisyen untuk membawa pulang Marina ke Malaysia pada April lalu.
Petisyen yang dipelopori bekas Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon itu untuk dihantar kepada Duta Besar Nepal ke Malaysia bagi membolehkan Marina dipindahkan ke penjara di negara ini. – K! ONLINE










