KUALA LUMPUR – Perselisihan faham antara dua rakan berakhir dengan tragedi berdarah selepas seorang daripada mereka ditemui mati di Apartmen Suria Magna, Kepong di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, wanita Cina berusia 65 tahun itu ditemui dalam keadaan kepalanya berlumuran darah di kawasan anjung rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan daripada pusat kawalan kecemasan.
“Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan rakannya sebelum berlaku tolak menolak sehingga mangsa terjatuh dan terhantuk pada dinding.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Selayang dipercayai akibat kecederaan pada kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, susulan itu pihak polis menahan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun yang juga rakan mangsa bagi membantu siasatan.
“Wanita berketurunan Cina itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” ujarnya. – K! ONLINE










