TAIPING – Seorang lelaki hilang dikhuatiri lemas ketika mandi di Air Terjun Pecah Batu, Trong dekat sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, mangsa, Muhammad Taufik Mahamad, 29, pergi ke kawasan perkelahan berkenaan bersama seorang rakan pada pukul 3 petang.
“Rakannya pergi ke bahagian atas kawasan berkenaan untuk memancing manakala mangsa mandi di kawasan sekitar air terjun tersebut.
“Apabila rakannya kembali ke kawasan air terjun itu sejam kemudian, dia mendapati mangsa tiada di kawasan mandi selain hanya menjumpai pakaian dan beg mangsa sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Razlam, rakan mangsa cuba mencari lelaki tersebut bersama orang awam namun gagal menemui mangsa.
“Bimbang dengan keadaan mangsa, dia membuat laporan polis pada pukul 7.30 malam.
“Operasi mencari mangsa segera dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam,” katanya.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung semula hari ini dan kini mangsa masih belum ditemui. – K! ONLINE










