MPK raih dua anugerah inovasi - Utusan Malaysia

MPK raih dua anugerah inovasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 25 Dis. – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) diumumkan pemenang Anugerah Inovasi terbaik sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Anugerah 1 Inovasi 1 Jabatan 1 2018 di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Terbaik, Anugerah Pegawai Kewangan Negeri Terbaik dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik.


Pemilihan itu berdasarkan pencapaian cemerlang MPK menggondol dua anugerah iaitu Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Terbaik dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik.


Kejayaan tersebut membolehkan MPK yang diterajui Yang Dipertuanya, Johan Ibrahim membawa pulang wang tunai RM20,000 dan Piala Pusingan Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Terbaik.


Johan berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha kerja berkumpulan semua kakitangan yang sentiasa komited dalam menghasilkan gerak kerja bersepadu.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan di MPK kerana berjaya merealisasikan kecemerlangan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Hadiah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.


Sebanyak 22 kumpulan daripada 21 buah agensi kerajaan menyertai pertandingan ini.


“MPK menghantar dua kumpulan dan memenangi anugerah serta bintang iaitu Multi Profesional Technologist (MP-TEC) dengan Projek Inovasi, Pembangunan Sistem bagi Pengurusan Sisa Pepejal yang Sistematik dan Efisien memenangi Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Terbaik serta mendapat lima bintang dan membawa pulang RM11,500.


Bagi Anugerah Khas Inovasi, kumpulan Greatest Technology Observers (GTO) dengan Projek Inovasi Perangkap Trifungsi bagi mengawal kehadiran haiwan perosak (LILATI) turut mendapat lima bintang dan membawa pulang RM8,500.


Menurut Johan, kumpulan MP-TEC disertai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Perundangan manakala kumpulan GTO turut disertai Jabatan Ksihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Transformasi dan Audit Dalam. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×