Mayat pemancing ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat pemancing ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING 25 Dis. – Seorang pemancing yang hilang malam semalam semasa berenang untuk cuba kembali ke pantai selepas pergi memancing di atas Batu Sirik berdekatan pantai Kampung Seri Pantai di sini ditemukan mayatnya pukul 12 tengah malam tadi.

Mayat lelaki berusia 38 tahun itu dijumpai terdampar di kawasan berbatu berhampiran sebuah resort kira-kira 1 kilometer utara dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihak keluarga sudah membuat pengecaman dan pengesahan terhadap mayat pukul 1.10 pagi ini.

“Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima panggilan daripada pekerja sebuah resort di Teluk Iskandar memaklumkan menemui satu mayat terdampar di kawasan berbatu berhampiran resort tersebut. 

“Berdasarkan maklumat tersebut Pangkalan Hadapan Carilamat menggerakkan anggota ke lokasi penemuan untuk mengambil mayat,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian pukul 10 malam semalam mangsa hilang ketika cuba berenang kembali ke pantai dari lokasi memancing dalam keadaan air pasang.

Sebelum itu mangsa keluar memancing pukul 7.30 malam dalam keadaan air surut dan apabila air pasang pada sebelah malam di atas batu tersebut, lelaki tersebut cuba berenang kembali ke pantai namun dilaporkan hilang. 

Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti di laut terutama komuniti maritim untuk segera menghubungi 999 atau MRSC Johor pada talian 07- 2219231 jika berlaku kecemasan supaya bantuan dapat disalurkan dengan cepat. 

Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk menitikberatkan aspek keselamatan ketika menjalankan sebarang aktiviti di lautseperti penggunaan jaket keselamatan yang merupakan kemestian atau wajib pakai dan tidak boleh diambil mudah. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×