KEPALA BATAS 25 Dis. – Operasi khas menangani pemandu mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi menahan dua lelaki kerana memandu di bawah paras alkohol dibenarkan.
Operasi itu dijalankan di sekitar Jalan Permatang Pauh, Mak Mandin di sini bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kedua-dua lelaki yang ditahan berumur 33 dan 34 tahun itu merekodkan bacaan ujian evidential breath analyser (EBA) masing-masing 181mg/100ml dan 154mg/100ml.
“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih 12 bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan pengguna jalan raya tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana boleh mendatangkan risiko kemalangan jalan raya terhadap diri sendiri serta orang lain. – UTUSAN ONLINE










