KEPALA BATAS 25 Dis. – Kelekaan sekumpulan ‘mat rempit’ berlumba haran di lebuh raya Butterworth di sini malam tadi berakhir dengan dua daripada mereka ditahan polis.
Operasi Bersepadu Khas Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ibu pejabat polis Seberang Perai Utara (SPU) itu bermula pukul 10 malam hingga awal pagi tadi hasil maklumat awam.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd. Noor, dua mat rempit yang ditahan masing-masing berumur berumur 22 dan 23 tahun dan merupakan pekerja kilang serta bekerja sendiri.
Katanya, mereka ditahan atas kesalahan melakukan aksi menunduk badan (zig zag) dan meniarap di atas motosikal yang berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Saringan awal ujian air kencing didapati negatif dan mereka disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan ibu bapa lebih peka dengan aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Tambah beliau, pihaknya akan terus menggiatkan operasi mencegah lumba haram yang bukan hanya bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya, tetapi membantu mengurangkan risiko kematian membabitkan kemalangan.
“Oleh itu, kita menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat ini atau maklumat mengenai jenayah lain kepada pihak trafik atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










