LONDON – Pelumba Red Bull, Max Verstappen menganggap semua pelumba berpeluang menjuarai gelaran Formula Satu (F1) musim 2018 jika mereka mempunyai jentera yang setanding dengan Lewis Hamilton.
Menurut Verstappen, Hamilton cukup bertuah kerana memiliki jentera Mercedes yang terbaik dan kompetitif sekali gus memudahkan usahanya untuk bergelar juara dunia.
Pelumba dari Britain itu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menjulang gelaran dunia buat kali kelima sekali gus menghampiri rekod Michael Schumacher yang meraih tujuh kejuaraan dunia.
“Bagi saya, Sebastian Vettel, Fernando Alonso mahupun Daniel Ricciardo termasuk saya juga mampu menjulang gelaran tersebut sekiranya memperoleh jentera yang terbaik dan tidak berdepan sebarang masalah.
“Bila memikirkan tentang perjalanan karier saya, ia bukan mudah untuk menandingi kejayaan yang diraih oleh Hamilton atau Vettel ketika ini yang bersama dengan pasukan hebat.
“Saya percaya bahawa pasukan Red Bull mampu bergelar juara sekiranya kami mempunyai pakej yang lengkap terutama jentera yang berdaya saing. Ia bukan perkara yang mustahil dan saya meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan ini,” kata Verstappen.
Musim ini, Verstappen berada di kedudukan keempat keseluruhan dalam kategori pelumba dan hanya meraih dua kemenangan serta 11 podium.
Pelumba kelahiran Belanda itu sebelum ini dikaitkan akan menyertai pasukan Mercedes namun memilih untuk kekal bersama pasukan Red Bull. Musim depan, Red Bull beralih kepada enjin Honda selepas berdepan masalah bersama Renault pada musim 2018. – Agensi










