KUALA LUMPUR 24 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis mempersoal tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini mahu melaksanakan kaedah penetapan harga petrol secara mingguan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bekas Perdana Menteri bertanya mengapa kerajaan mahu melaksanakan perkara yang sama dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini kerana sering dikritik sebagai amalan yang kononnya menyusahkan rakyat.
“Dulu, bukan(kah) selalu kritik saya yang harga minyak bertukar setiap minggu tidak baik dan menyusahkan rakyat?

“Bukan (kah) satu daripada 10 janji manifesto (PH) 100 hari itu untuk menstabilkan harga minyak? Mengapa sekarang mahu buat sama dengan kerajaan BN pula? BN baik juga, ke? Tak apalah. #FitnahSudahMenang,” katanya menyindir menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan dan menggunakan kaedah penetapan harga secara mingguan.
Sabtu lalu, Najib mendakwa kerajaan PH telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95, sejak awal bulan lalu.
Kata beliau, berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga pada ketika ini iaitu RM2.20.

Dalam pada itu, Najib secara sinis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan PH kerana mengaku menerima subsidi daripada rakyat selama dua bulan.
“Terima kasih kerajaan PH kerana akhirnya mengaku menerima subsidi minyak dari rakyat selama dua bulan dan kini berjanji untuk menurunkan harga minyak RON95 bermula minggu depan.
“Bila mahu turun harga minyak masak ? Harga sawit sudah jatuh menjunam sejak enam bulan yang lalu,” soalnya.










