KUALA LUMPUR 24 Dis. – Bekas pengurus syarikat produksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel, awal bulan lalu.
Tertuduh, Shaiful Azwira Abdul Jabbar, 44, yang mempunyai dua isteri dan lapan anak itu didakwa mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 24 tahun supaya menyerahkan wang RM1,000 atau melakukan hubungan seks dengannya empat kali sebulan sekiranya tidak mahu gambar bogel mangsa disebarkan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Jaya Permai, Ampang dekat sini pada pukul 11 malam, 7 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, iaitu boleh dijel sehingga tujuh tahun dan denda atau sebat.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan namun Shaiful Azwira memohon dibenarkan ikat jamin kerana menguruskan lapan anak memandangkan hanya isteri pertama bekerja.
Majistret Haslinda A. Raof membenarkan dia diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan agar tidak mengganggu mangsa.










