KUALA LUMPUR 24 Dis. – Peningkatan kebergantungan terhadap hasil berkaitan minyak menimbulkan risiko kepada ruang fiskal kerajaan sekiranya terdapat perubahan besar dalam harga atau bekalan minyak mentah dunia.
Menurut Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia oleh World Bank Group, penyempitan asas pendapatan kerajaan dan peningkatan kebergantungan ekonominya terhadap pendapatan minyak yang kurang stabil membataskan fleksibiliti untuk membuat penyelarasan fiskal terhadap kejutan makroekonomi pada masa depan.
“Walau bagaimanapun langkah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan hasil kerajaan persekutuan dalam pembentangan Belanjawan 2019 seperti mengenakan cukai ke atas perkhidmatan digital asing dan skim subsidi bahan bakar bersasar dijangka dapat mengurangkan beberapa kekangan fiskal,” katanya dalam laporan tersebut.
Bank Dunia berkata, untuk 2019, hasil kerajaan persekutuan dijangka meningkat kepada 17.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding 16.5 peratus pada tahun ini.
Peningkatan tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh penerimaan dividen khas sebanyak RM30 bilion atau dua peratus daripada KDNK menerusi Petronas.
Sementara itu Pengarah Negara Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Bank Dunia, Mara Warwick berkata, bagi segmen perbelanjaan, bayaran upah perkhidmatan awam terus menguasai perbelanjaan awam pada tahap yang lebih tinggi iaitu sebanyak 40 peratus daripada perbelanjaan kerajaan tahun depan, meningkat daripada 25 peratus pada 2000.
Katanya, di samping konsolidasi fiskal berterusan dan hasil yang merosot, hutang tinggi yang ditanggung kerajaan juga menjadi satu kebimbangan.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk memastikan usaha mengekalkan pertumbuhan dalam jangka masa terdekat seimbang dengan keperluan untuk memulihkan penampan fiskal,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, walaupun negara-negara maju berhadapan dengan kelembapan pada tahun hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan.
Beliau berkata, faktor-faktor luaran, termasuk kemungkinan kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan, mungkin memberikan kesan limpahan ke atas ekonomi Malaysia.
Minggu lalu, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 4.9 peratus kepada 4.7 peratus bagi 2018 dan 2019.
Pada suku ketiga 2018, Malaysia mencatat KDNK pada 4.4 peratus bagi suku ketiga tahun ini, lebih rendah berbanding 6.2 peratus bagi tempoh sama 2017.










