ISLAM menuntut umatnya berusaha dan mencari pendapatan halal bagi menampung perbelanjaan keluarga, bukannya dengan meminta-minta.
Akal pemikiran yang cerdas harus digunakan sepenuhnya bagi menghasilkan sesuatu kelainan dan mampu memberi manfaat kepada orang ramai.
Menggunakan kreativiti tersendiri, Nor Rosidah Osman menjadikan makanan kegemaran dari Barat iaitu piza sebagai menu jualan untuk menjalankan perniagaan.
Apa yang menarik, piza keluaran syarikatnya dimasak menggunakan cara memasak tradisional masyarakat Melayu terdahulu iaitu menggunakan kayu api.
Menyedari makanan Barat seperti piza yang semakin diterima ramai di negara ini termasuk penduduk kawasan luar bandar, anak jati Jerantut, Pahang ini menghasilkan piza mengikut resipinya sendiri yang dimasak menggunakan kayu api.
Menjadikan piza keluarannya mempunyai standard dan bukannya bisnes main tangkap muat, Nor Rosidah membuka Restoran Piza Anak Dol yang beroperasi di Kampung Bukit Dinding.
Kelainan Piza Anak Dol berbanding piza biasa yang dihasilkan, ia dibakar sepenuhnya menggunakan kayu api dan memerlukan masa seminit sahaja untuk dimasak.
Piza yang gebu dan lembut beserta aroma kayu api membuatkan Piza Anak Dol semakin digemari ramai sehingga ada yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.
Ternyata pilihan Nor Rosidah Osman, 30, tidak sia-sia apabila piza yang dihasilkannya kini semakin mendapat sambutan termasuk pelanggan dari Johor, Kedah dan Kelantan.
Nor Rosidah yang memulakan perniagaan sejak 15 Oktober tahun lalu bersama suaminya, Mohd. Johari Abdul Mutalib, 41, menyediakan sembilan jenis piza termasuk Ayam Aloha, Thousand Island, Chezzy Lover dan Daging Blackpepper.
Selain itu, Piza Anak Dol turut memperkenalkan dua menu istimewa iaitu piza sambal hitam dan sambal petai.
Nor Rosidah berkata, piza sambal hitam dan sambal petai adalah dua menu unik yang mungkin tidak dapat diperoleh di tempat lain.
“Saya ingin menonjolkan sambal hitam yang merupakan makanan tradisional penduduk Jerantut dan sambutan amat menggalakkan setakat ini,” katanya.
Dia menyediakan tiga saiz piza iaitu kecil berharga RM13, sederhana (RM17) dan besar (RM23).
“Bagi piza sambal hitam dan sambal petai pula dijual dengan harga lain iaitu saiz kecil RM15, sederhana (RM20) manakala saiz besar RM28,”ujarnya. Penyediaan menu yang sedap dan pantas membolehkan Nor Rosidah menjual hampir 200 piza pada hari biasa manakala jumlahnya mencecah 500 keping pada hari cuti. “Setakat ini saya menggunakan khidmat 13 pekerja lelaki dan perempuan. Kami juga sudah mempunyai kilang mini untuk menyediakan piza sejuk beku di Kampung Tebing Tinggi.
“Kami turut menerima tempahan piza daripada agensi kerajaan dan swasta. Tempahan perlu dibuat lebih awal bagi memudahkan kami menyediakan bahan,” jelasnya.
Menariknya, Piza Anak Dol turut menyediakan piza percuma yang diperbuat khas untuk ibu mengandung pada setiap Rabu.
Restorannya yang terletak 18 kilometer dari bandar Jerantut itu dibuka pada pukul 12 tengah hari hingga 7 malam setiap Selasa hingga Ahad dan cuti pada hari Isnin.










