PERTUBUHAN Kebangsaan Melayu Bersatu bila ditubuhkan pada Mei 1946 mengandungi 37 kumpulan yang menggunakan label-label berikut: pergerakan, persekutuan, kesatuan, persatuan, perikatan, ikatan, dewan dan club. Hanya satu sahaja yang menggunakan label parti, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Semalaya bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Mohammad Nor.
Sesungguhnya, Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (terjemahan Inggerisnya United Malays National Organization, ringkasannya UMNO) bila ditubuhkan sebenar-benarnya bukan suatu parti politik, tetapi sebuah ‘pertubuhan’ yang ada anggotanya daripada pelbagai kumpulan peringkat negeri, daerah, termasuk sebuah parti politik.
Maksudnya, pada awalnya UMNO bukan seperti DAP (Democratic Action Party), Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) atau Parti Islam Malaysia (PAS) yang daripada tarikh penubuhan serta terisytihar dan terdaftar sebagai parti-parti politik. Keanggotaannya didaftarkan dengan kad keahlian masing-masing.
Ertinya Perkembar atau UMNO sebagai sebuah pertubuhan adalah sebenarnya sebuah gerakan sosial (social movement), bukan sebuah parti politik, dengan suatu agenda sosial berteraskan perjuangan nasionalisme yang menentang penubuhan Malayan Union pada 1946 dan perlucutan kuasa Raja-Raja Melayu.
Perpaduan Melayu
Penubuhan Malayan Union 1946 oleh British telah mencetuskan suatu ‘detik perpaduan’ (a moment of unity) dalam kalangan pelbagai pertubuhan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ketika itu yang berbeza subetnik, tujuan dan haluan, kegiatan dan matlamat. Akhirnya mewujudkan suatu tapak integrasi antara pertubuhan Melayu berbeza warna dan wajah bernama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Tapak integrasi Melayu bersifat gerakan sosial ini terbina kerana wujudnya ciri-ciri berikut. Pertama, berlaku pengemblengan sumber secara besar-besaran bersifat sokongan moral, pengaruh dan kewangan bukan sahaja daripada komuniti Melayu bahkan daripada kalangan Raja-Raja Melayu. Malah UMNO tertubuh di pekarangan Istana Sultan Johor.
Kedua, keputusan serentak sederap diambil oleh majoriti kelompok pimpinan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, biarpun berbeza tujuan, kegiatan dan matlamat apabila Malayan Union dibentuk British yang mereka merasakan telah mencabar ‘kemelayuan,’ ‘semangat perjuangan Melayu,’ ‘maruah Melayu’ dan ‘tercabarnya tonggak simbol Melayu dan kemelayuan’ iaitu Raja-raja Melayu.’
Ketiga, untuk pertama kalinya wacana ‘kekitaan dalam kepelbagaian’ dalam kalangan beberapa sub-etnik Melayu berasaskan daerah, negeri dan wilayah terbina menjadi satu menentang Malayan Union 1946 yang akhirnya menyebabkan tertubuhnya suatu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Untuk kali pertamanya semua Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu serta Negeri-Negeri Selat di bawah satu payung.
Dari Malayan Union 1946 ke Persekutuan Tanah Melayu 1948, UMNO telah mencipta dan mengambil kesempatan daripada ‘detik perpaduan Melayu’ ini untuk membina sebuah ‘tapak integrasi Melayu’ terpenting lagi historis sifatnya.
Wajah UMNO
Dan kepelbagaian dalam UMNO ada tiga wajah. Pertama, ‘wajah idealistik’ yang berteraskan cogan kata ‘bersatu, bersetia, berkhidmat.’ Kepelbagaian sub-etnik dan kedaerahan dalam UMNO diikat oleh cogan kata yang bersifat idealistik ini. Setiap ucapan pada perhimpunan oleh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri semuanya merupakan seruan untuk ‘bersatu, bersetia, berkhidmat.’ Sesuatu yang diidamkan walaupun realitinya adalah sering kebalikannya.
Kedua, ‘wajah positif’ kerana UMNO mengandungi pelbagai kelompok sub-etnik Melayu – Jawa, Mandahiliang, Minangkabau, Aceh, Arab, Indian Muslim, Melayu Siam, dan selainnya. Kerencaman ini dilihat sebagai sesuatu yang terus menerus dipestakan dengan meriahnya – warna, bunyi, fesyen dan beragam makanan. Lihat sahaja pesta perniagaan berwarong (UMNO warongization) di luar PWTC setiap kali Perhimpunan Agung UMNO diadakan.
Ketiga, ‘wajah negatif ‘ yang wujud kebanyakan waktu secara senyap-senyap tetapi sebenarnya bak kata pepatah Melayu ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya.’ Dalam kata lain kepelbagaian dalam UMNO mewujudkan keadaan ‘stabil tapi tegang’ (stable tension). Kerana itulah selalu pemimpin UMNO mengingatkan ahli dalam setiap Persidangan Agung UMNO melalui ucapan mereka yang sering panjang lebar dengan slogan ‘bersatu teguh bercerai roboh.’
Tetapi perkembangan UMNO sebagai gerakan sosial yang tercetus oleh a moment of unity pada 1946 didukung oleh ‘roh dan semangat Melayu bersatu’ apabila berdepan dengan Malayan Union telah terungkai apabila wajah yang mendominasi UMNO semenjak 1951, Datuk Onn Jaafar pengasas UMNO keluar. Juga ketika Pas, tetap sebuah serpihan UMNO, tertubuh pada 1951. Semenjak UMNO menjadi suatu parti politik, tidak lagi gerakan sosial, apabila ianya bergabung dengan MCA dan MIC demi pilihanraya tempatan atas percaturan British pada 1952.
Kepelbagaian subetnik, kelompok-kelompok yang didorong oleh kepentingan politik berbeza dan lahap kebendaan yang amat ketara selepas Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pelaksanaannya pada 1971 terus menerus meretakkan dan memecahkan belahkan UMNO dari dalam sehingga hari ini.
Motif Bersatu?
Daripada perpecahan ini lahir beberapa parti politik serpihan dari UMNO, seperti Pas, Semangat 46, Parti Keadilan Nasional dan terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau singkatan Bersatu) yang setiapnya telah ditiupkan dengan ‘roh dan semangat dan Kemelayuan’ yang mengisi UMNO sebagai gerakan sosial semasa ia ditubuhkan.
Drama ‘perebutan roh UMNO’ yang kini semakin menjadi-jadi kerana kedudukan minoriti Bersatu dalam Pakatan Harapan membuatkan ia senantiasa rasa tercabar. Dahulu Presiden Bersatu Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa Bersatu tidak akan menerima sesiapa saja dari UMNO masuk partinya tanpa penapisan rapi. Tapi kini jaring penapis Bersatu semakin besar lubangnya dan bolos, sehingga sesiapa saja dari orang UMNO boleh masuk.
PKR yang diketuai Anwar Ibrahim menegaskan bahawa PKR tetap akan menapis bekas ahli UMNO sebelum diterima masuk PKR. Apakah ini melibatkan strategi Bersatu untuk memperkukuh kedudukan akan terjejas dalam PH supaya setara kuat dengan DAP dan PKR?
Jelas, biarpun jasad UMNO terancam dalam waktu terdekat, tetapi roh semangat gerakan sosialnya terus bertiup segar memberikan nafas baharu pada jasad-jasad versi lama – terutamanya jasad versi baharu UMNO, dulu, kini dan selamanya.
PROF. ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN ialah penganalisis sosiopolitik dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










