Henti perbalahan dalam media sosial - Utusan Malaysia

Henti perbalahan dalam media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 23 Dis – Semua pihak perlu menghentikan perbalahan dalam media sosial mengenai kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim ketika bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, keluarga dan rakan Allahyarham perlukan ruang dan masa kesan daripada tragedi pahit itu.

Katanya, rakyat Malaysia semuanya tersentuh dengan kejadian menimpa Muhamad Adib dan sewajarnya sama-sama menunggu hasil siasatan yang sedang dilakukan pihak berkuasa.

“Pertikaian setiap hari dalam media sosial kadang-kala berbaur perkauman tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak bersikap rasional dengan kejadian yang berlaku itu.

“Bedah siasat telah dilakukan dan polis sedang mengambil tindakan susulan untuk membawa mereka yang terlibat itu ke muka pengadilan perbuatan jenayah yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan peralatan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pontian di Pusat Kegiatan Guru Agama di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Persuruhjaya APM Malaysia, Datuk Roslan Wahab, Pengarah APM negeri, Kol (PA) Mat Zin Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman dan ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Dalam majlis tersebut. Md. Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, menyerahkan peralatan berjumlah RM45,000 kepada APM Daerah Pontian bagi tujuan menambah baik peralatan operasi dan juga pentadbiran.

Mengulas lanjut Md. Farid berkata, pihak berkuasa tidak sesekali mengambil sikap berdiam diri dan sedang melakukan usaha memburu penjenayah yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Beri ruang kepada polis jalankan tugas mereka dengan professional dan janganlah ada pihak mendahului pihak berkuasa dalam membuat ulasan dan pandangan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×