KEPALA BATAS 22 Dis. – Seorang warga emas kerugian RM 10,000 selepas dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam di sini semalam.
Mangsa yang berumur 53 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan kononnya terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat takut mangsa telah mengikut arahan sekali gus membuka akaun Bank Rakyat untuk menyelamatkan wang simpanan dengan Lembaga Tabung Haji miliknya.
”Dalam kejadian 18 Disember lalu, mangsa yang terkejut dan terlalu takut ketika menerima maklumat itu tanpa berfikir panjang menyerahkan nombor Kad ATM depan dan belakang serta nombor PIN miliknya kepada pemanggil tersebut seperti yang diarahkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norzainy berkata, selepas berkongsi maklumat perbankan itu, mangsa menyedari berlaku satu transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank lain tanpa pengetahuannya dalam masa sehari melibatkan wang keseluruhan RM10,000.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk ke balai polis terdekat semalam kononnya bagi proses pemulangan semula wang, namun diberitahu itu adalah panggilan ‘scammer’,” katanya.
Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.
“Jangan mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” jelasnya.
Noorzainy juga mengingatkan orang ramai tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu tidak dikenali.
“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










