Jangan sampai Tabung Haji ‘runtuh’ - Utusan Malaysia

Jangan sampai Tabung Haji ‘runtuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA seluruh negara masih panas memperkatakan mengenai #DaulatHimpunan 812 yang menyaksikan penyertaan ratusan ribu orang Melayu secara tiba-tiba tercetus isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Sebelum ini Tabung Haji dipalit dengan dua laporan polis berkaitan Program Yayasan Tabung Haji 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik manakala satu lagi laporan dibuat kerana didakwa menyembunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penjualan saham Tabung Haji pada 2012.

Terbaharu, pengisytiharan serta pembayaran hibah (bonus) pada 2017 dikatakan telah melanggar Akta Tabung Haji 1995. Ia disebabkan kedudukan kewangan didakwa menunjukkan bagi 2017 jumlah aset keseluruhan ialah RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutang) sebanyak RM74.4 bilion.

Walaupun mereka yang terlibat dalam pengurusan terdahulu sudah memberi kenyataan dan penjelasan dengan menegaskan tindakan memberi hibah itu betul dan tidak melanggar mana-mana undang-undang tetapi ia seolah-olah tidak dipedulikan.

Lanjutan pelbagai kecaman dilemparkan termasuklah terpacul panggilan ‘perompak’ kepada pengurusan lama. Pada masa sama, kerajaan membuat keputusan memindahkan aset tidak untung RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan pada tahun depan.

Tindakan itu bukan sahaja tidak dipersetujui oleh penganalisis ekonomi malah dalam kalangan kakitangan Tabung Haji sendiri tidak berpuas hati dengan langkah sedemikian yang dilihat akan memberi kesan tidak baik kepada Tabung Haji.

Sementara sudah pasti kita bersetuju dengan apa juga tindakan bagi menyiasat atau membanteras penyelewengan mahupun ketirisan, namun janganlah sampai tindakan dilakukan boleh meruntuhkan Tabung Haji yang dianggap salah satu institusi Melayu terunggul di negara ini.

Segala tindakan untuk memperbaiki prestasi atau kewangan Tabung Haji perlu dilakukan secara telus dan bukannya mempunyai sebarang unsur politik. Tabung Haji adalah institusi Melayu yang dalam keadaan apapun perlu dipertahankan.

Janganlah tindakan yang dibuat akan menyebabkan orang Melayu diperlekehkan kerana seolah-olah tidak tahu menguruskan perniagaan sehingga akhirnya akan membuka laluan kepada ‘tangan-tangan tertentu’ mengambil kesempatan.

Maka apapun kenyataan dibuat janganlah mempunyai agenda politik tersirat. Mahu tidak mahu, orang mengait pendedahan kemelut Tabung Haji dengan situasi politik terkini, menyaksikan ramai orang Melayu tidak puas hati dengan kerajaan dan perhimpunan #DaulatHimpunan812 dilihat manifestasi perasaan itu.

Bagaimanapun ini bukan bermakna dalam keadaan bimbang dengan kebangkitan itu, Tabung Haji dilihat menjadi sasaran dengan tujuan melemahkan sokongan orang Melayu kepada kelompok tertentu atau sasaran untuk alih isu.

Tergadai

Tabung Haji bukan parti politik, bukan badan politik dan ia tidak boleh dipolitikkan apatah lagi menjadi mangsa politik. Justeru seperti mana ditegaskan, kita tidak pertikai niat mewujudkan tadbir urus baik bagi institusi Melayu itu tetapi tindakan haruslah dilakukan dengan berhati-hati.

Janganlah sampai akibat keghairahan untuk menunjukkan keburukan kerajaan atau pemimpin terdahulu, Tabung Haji menjadi sasaran. Inilah yang berada dalam minda majoriti orang Melayu apabila tercetusnya isu Tabung Haji.

Sememangnya kita menerima penjelasan Tabung Haji bahawa tidak berlaku sebarang campur tangan politik daripada mana-mana menteri Kabinet terhadap institusi tersebut tetapi ia belum mampu menutup spekulasi dan tafsiran orang dalam hal ini.

Oleh itu jalan terbaik bagi mengelakkan persepsi ini berterusan, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad harus mempertimbangkan desakan pelbagai pihak yang menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

Penulis percaya pengurusan Tabung Haji sudah pasti tidak keberatan dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan kerana tiada apa yang perlu dibimbangkan memandangkan mereka sudah menegaskan, “tiada arahan untuk mencari salah sesiapa…”

Jika hasil siasatan mendapati dakwaan wujudnya tadbir urus tidak betul, kita mengalu-alukan tindakan tegas diambil, tetapi pada masa ini terlalu banyak persoalan tidak terjawab, apatah lagi kelompok yang dituduh turut mempunyai hujah yang pada pandangan pakar ekonomi adalah betul.

Malah menurut sumber dalaman Tabung Haji, kalau mengikut isu yang dibangkitkan, semua pelaburan mengikut polisi ditetapkan dan keputusan dibuat ketika itu adalah yang terbaik mengikut situasi dan keadaan semasa.

Apapun kita tidak mahu Tabung Haji dilihat menjadi mangsa mainan politik mana-mana pihak. Dalam soal ini, semua pemimpin Melayu tidak kira apa juga fahaman politiknya jangan terlalu teruja sangat dengan kemelut melibatkan Tabung Haji.

Pada masa sama diharapkan dalam kalangan orang Melayu sendiri, jangan mudah termakan hasutan atau khabar angin sehingga memungkinkan pendeposit mengambil tindakan mengeluarkan simpanan.

Orang Melayu perlu sedar dengan ancaman di hadapan mereka. Usahlah berpolitik sehingga akhirnya kita menjadi lebai malang menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dalam soal ini, penulis paparkan satu mesej oleh seorang individu yang cukup bimbang dengan apa yang berlaku, rayunya, “Kita perlu hentikan semua ini. Parti-parti politik Melayu bersatulah pertahan Tabung Haji. Jangan berpecah belah menjadi fanatik politik sehingga tergadai institusi Melayu.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×