PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (UMNO), Datuk Dr. Puad Zarkashi menyelar tindakan pemimpin Pas yang mengecam tindakannya menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad susulan hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Jelas Puad, Naib Presiden Pas itu tidak sepatutnya setakat mengambil maklum, tetapi perlu menggunakan kesempatan yang ada di Mekah untuk berunding secara terus dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung isu itu.
“Kebetulan sudah ada di Mekah, gunalah PR (perhubungan awam) untuk berunding dengan Kerajaan Saudi.
“Apabila pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di Ukraine 2014, (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak guna saluran tidak rasmi untuk bawa pulang mayat rakyat Malaysia yang terkorban. Itu namanya PR pemimpin. Najib guna diplomasi senyap berbincang melalui telefon dengan ketua pemisah. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mana PR Idris dan Ustaz Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) untuk bantu mangsa bakal haji. Kalau PR bagus, sudah pasti Malaysia boleh dapat kuota haji tambahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Puad berkata, pihaknya tidak menafikan agensi pelancongan terletak di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun sebarang urusan haji seperti visa dan kuota haji terletak di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Mereka tuduh saya mahu memburukkan Pas. Saya tidak sedar pun Menteri dan Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) orang Pas.
“Saya pasti wakil khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Presiden Pas. Pemimpin PAS ketandusan ‘PR diplomasi’,” katanya. – UTUSAN











