SELULIT bukan stretch mark. Selulit adalah penampilan kulit yang berlekuk disebabkan oleh lapisan lemak yang terkumpul di lapisan bawah kulit.
Doktor Perubatan Estetik, Kulit dan Rawatan Laser di Dr Liza Clinic, Dr. Nurmaliza Abdul Rahim berkata, selulit berlaku apabila lemak di sesetengah kawasan tertarik ke bawah oleh tisu penghubung (connective tissue bands).
“Ia biasa terjadi di bahagian abdomen, pelvis, kaki dan peha. Meskipun selulit tidak berbahaya, ia boleh membuatkan seseorang rasa rendah diri dan hilang keyakinan. Kira-kira 80 hingga 90 peratus penghidapnya adalah wanita berbanding lelaki.
“Malah ia bukan sahaja ada pada wanita yang berbadan gempal tetapi wanita yang langsing juga tidak terlepas mempunyai selulit. Hakikatnya, tiada direct cause yang menyebabkan selulit tetapi beberapa faktor boleh terjadinya selulit,” katanya kepada Seri.
FAKTOR PEMBENTUKAN SELULIT?
Pertambahan usia
Genetik
Perubahan hormon
Diet yang tidak seimbang
Peningkatan dan penurunan berat badan yang drastik
RAWATAN SESUAI UNTUK MERAWAT SELULIT?
Sebenarnya hampir mustahil menghilangkan selulit namun dengan melakukan beberapa rawatan, ia dapat membantu mengurangkan dan mencantikkan penampilan kulit di kawasan berkenaan.
ANTARA RAWATAN YANG BIASA DILAKUKAN?
1) Rawatan sedut lemak atau masukkan lemak mengikut kepada keadaan selulit.
2) Radiofrequency atau ultrasound. Rawatan ini akan menyasar dan eliminate fat di kawasan berkenaan. Rawatan ini juga membantu memanaskan kulit dan merangsang kolagen lalu menganjalkan kulit.
3) Laser dapat mengetatkan kulit dan menghasilkan kolagen kulit.
4) Subcision Celfina iaitu jarum spesifik yang mempunyai kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat atau Food and Drug Administration (FDA) yang akan dicucuk di bawah kulit dan cut away fibrous bands.
5) Carboxy therapy yang mana carbon dioxide akan dimasukkan di bawah kulit. Ini akan membantu meningkatkan blood flow ke kawasan selulit.
6) Topical cream yang berasaskan kopi atau kafein dapat membantu melancarkan peredaran darah dan aliran limfatik.
7) Retinol 0.3 peratus untuk meningkatkan ketebalan kulit.
TEMPOH UNTUK MENGHILANGKAN SELULIT?
Rawatan boleh mengambil masa dalam tempoh enam bulan atau lebih daripada itu. Sentiasa berbincang dengan doktor pada setiap sesi rawatan.
ADAKAH SELULIT BOLEH BERULANG?
Ya. Selulit boleh berulang.
CARA LAIN MENGURANGKAN SELULIT?
Ia boleh dikurangkan dengan memastikan gaya hidup yang sihat secara diet tinggi fiber, kurangkan makanan yang tinggi karbo dan garam.
Senaman seperti berenang, berlari mahupun berjalan juga amat membantu dengan menguatkan otot dan mengurangkan lapisan lemak di bawah kulit membuatkan selulit kurang ketara.
Urutan berkala di spa turut memberi kesan sementara yang mana ia membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan pengumpulan cecair di dalam badan.










