Ana Maria tak selesa dilabel seksi - Utusan Malaysia

Ana Maria tak selesa dilabel seksi

MARKOVIC suka dipuji cantik, namun dia kurang selesa apabila dilabel seksi. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIPULAH sekiranya rasa tidak suka atau marah apabila golongan hawa dipuji cantik dan menawan.

Itu juga reaksi pemain bola sepak profesional wanita, Ana Maria Markovic yang kini sering mendapat liputan meluas media antarabangsa dek kerana kecantikan yang dimilikinya.

Atlet kelahiran Croatia itu mengakui dia berasa bersyukur dan gembira apabila ‘dipuji pelbagai pihak’ mengenai keanggunan raut wajahnya.

Mak­lumlah, pemikiran tipikal masyarakat mengenai atlet wanita mestilah ‘badan berotot dan mempunyai personaliti sedikit kelakian, lebih-lebih lagi jika terlibat dalam sukan seperti bola sepak.

Namun, di sebalik perhatian yang diterima Markovic mengenai personaliti dan kecantikannya, jauh di sudut hatinya timbul rasa kurang selesa apabila sesetengah media melabelkan dia sebagai atlet wanita paling seksi.

Menurut atlet berusia 22 tahun itu, seksi itu merupakan subjektif, sama seperti kecantikan dan padanya, dilabel seksi bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.

“Jujurnya, saya suka membaca artikel yang memuji saya cantik dan anggun, bahkan wanita mana yang tidak suka jika dipuji cantik bukan?

“Bagaimanapun, saya berasa kurang selesa apabila ada segelintir media melabel saya sebagai atlet wanita paling seksi.

“Pada saya, itu bukanlah perkara yang boleh dibanggakan kerana saya merupakan atlet yang mempersembahkan prestasi dan kemahiran, cantik itu bonus, seksi itu tidak manis,” katanya.

Selain itu, Markovic juga menyatakan dia tidak selesa dengan laporan media berkenaan kerana menegaskan dia mahu menjaga nama baik keluarganya.

Jelas atlet itu, dia tidak suka jika keluarganya membaca perkara yang dianggap tidak baik mengenai dirinya.

“Dilabel seksi seolah-olah saya ini perempuan yang tidak baik, saya tidak suka, malah saya perlu menjaga nama baik keluarga.

“Saya yakin, mereka juga tidak suka terbaca atau membaca perkara yang dianggap kurang baik untuk saya,” ujarnya.

Tegas Markovic, media perlu lebih berhati-hati dalam melaporkan sebarang artikel supaya tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap pembaca.

Katanya, menjadi atlet yang membawa nama negara atau kelab pasukan perlu berhati-hati dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan imej mereka.

Jelas wanita cantik itu, membawa nama negara sama seperti membawa nama keluarga, maka perlu menghormatinya walau dimana jua dia berada.

KENALI ANA MARIA
Dilahirkan di Split, Croatia pada 9 November 1999.

Dengan ketinggian 172 sentimeter, Markovic mula menunjukkan minat bermain bola sepak sejak kecil dan ketika berusia 14 tahun, dia mula serius melibatkan diri dalam sukan tersebut.

Dilahirkan di Croatia, namun Markovic dan keluarganya membesar di Switzerland, menyebabkan dia bergiat aktif dalam pasukan bola sepak di negara itu.

Ketika ini, atlet tersebut bermain untuk Grasshopper Club Zurich Frauen yang merupakan sebahagian daripada Liga Super Wanita Switzerland.

Dalam kelab tersebut, Markovic mengenakan jersi nombor tujuh.

Selain itu, Markovic juga mewakili negaranya menerusi pasukan bola sepak wanita Croatia.

‘SAYA PEMAIN BOLA’
Markovic menerusi satu wawancara bersama media Jerman sebelum ini memaklumkan, dia juga kurang senang dengan sikap segelintir pihak yang lebih ‘memuja kecantikannya’ berbanding kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Saya merupakan atlet, pemain bola sepak. Saya berlatih setiap hari untuk tingkatkan prestasi dan kemahiran.

“Saya bukan hanya mahu menjadi cantik semata-mata, namun saya ingin semua orang melihat saya sebagai atlet profesional kerana itulah yang saya lakukan.

“Seperti yang saya katakan, cantik itu bonus, namun prestasi dan kemahiran perlu usaha untuk jadikannya di peringkat terbaik, bukan hanya duduk dan gunakan kecantikan,” katanya.

PEMAIN KEGEMARAN
Sementara itu, Markovic mengakui Cristiano Ronaldo merupakan bintang bola sepak kegemarannya.

Malah, dia sering menjadikan Ronaldo sebagai inspirasi untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Katanya, Ronaldo juga tampan, namun orang ramai juga menyedari kemahiran tinggi yang dimiliki bintang bola sepak itu setiap kali beliau beraksi.

“Saya mahu jadi seperti itu, dilihat cantik dan juga pemain bola sepak yang hebat,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×