Khazanah laksana strategi 'Memajukan Malaysia'

Khazanah laksana strategi ‘Memajukan Malaysia’

AMIRUL FEISAL WAN ZAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) melaksanakan bagaimana institusi tersebut dapat memenuhi mandat dengan lebih baik untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia, berdasarkan cabaran sosioekonomi akibat wabak Covid-19 yang melanda.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pada 2021, strategi yang terhasil adalah berpaksikan pada Memajukan Malaysia, tema yang mentakrifkan strategi Khazanah secara lebih komprehensif tentang cara menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pemegang kepentingan utamanya iaitu kerajaan, sektor Swasta dan komuniti.

Ujarnya, pihaknya menyasarkan untuk memacu dan memangkin bidang pertumbuhan baharu bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dan berdaya saing melalui Dana Impak, dengan komitmen RM6 bilion untuk sektor pemangkin.

“Inisiatif ini akan mempunyai komitmen kewangan khusus untuk diselaraskan dengan agenda negara dan akan dipandu oleh sasaran hasil yang ditetapkan seperti meningkatkan pendapatan isi rumah, menambah baik pelbagai inisiatif sosioekonomi, dan menggalakkan penglibatan sektor swasta.

“Kedua, kami akan mengukuhkan peranan kami sebagai peserta korporat yang aktif. Ini adalah penting dalam usaha untuk terus membangunkan aset kami berikutan tekanan atas keuntungan operasi selama dua tahun berturut-turut.

“Kami akan terus memacu pertumbuhan ekonomi yang teguh, mengenal pasti dan memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan utama dan memastikan daya saing global syarikat pelaburan kami,” katanya dalam perutusan yang terkandung dalam Laporan Khazanah 2021.

Selain itu, Amirul Feisal berkata, Khazanah juga akan terus menjadi pelabur global untuk mengembangkan portfolio kumpulan sambil mencari peluang untuk memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan ke Malaysia.

“Menerusi pelaburan kami di luar negara, kami juga telah membina hubungan yang kukuh untuk Khazanah dan Malaysia yang sekali gus telah meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara progresif yang mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi global dan komuniti pelaburan.

“Kami juga akan terusmembangunkan usaha kami sejak 2006, untuk terus komited membina kapasiti dan komuniti berdaya yang bertujuan untuk meningkatkan penciptaan nilai kemasyarakatan yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

“Inisiatif tersebut akan ditentukan berdasarkan landskap masyarakat semasa dan akan dilakukan sama ada secara langsung atau menerusi entiti kami seperti Yayasan Hasanah, Khazanah Research Institute, Taman Tugu, dan Yayasan Khazanah,” ujarnya.

Tambah beliau, di samping semua ini, Khazanah terus memastikan nilai Kemampanan dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diterapkan dalam semua aspek perniagaannya sambil memastikan tindakan yang diambil mempertimbangkan kesannya kepada alam sekitar dan komuniti.

Meskipun melalui tahun yang sukar, Khazanah terus mengembangkan nilai portfolio dengan Nilai Aset Bersih (NAV) menokok daripada RM79 bilion pada 2020 kepada RM86 bilion pada 2021, sekali gus menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun meningkat 5.8 peratus sejak 2004.

Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.8 kali walaupun hutang meningkat sedikit kepada RM48 bilion daripada RM43 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada 2021, Khazanah membayar dividen berjumlah RM2 bilion bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani wabak yang melanda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×