BUTTERWORTH – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 6.6 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dekat Bagan Ajam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Fakrul Irwan, 17, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian itu, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi di lokasi kejadian.
“Motosikal yang ditunggangi mangsa datang dari arah Butterworth menghala ke Sungai Dua dan telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta ketika berada di lorong kedua.
“Mangsa kemudiannya telah terjatuh ke atas jalan lalu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas di sini untuk urusan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis juga masih menyiasat dakwaan bahawa ketika kejadian berlaku mangsa sedang berlumba dengan penunggang motosikal lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE











