KUALA LUMPUR – Bekas eksekutif operasi dan khidmat pelanggan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah, dua tahun lalu.
Tertuduh J.G. Subashini Tan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.
Berdasarkan pertuduhan dikemukakan wanita tersebut yang digajikan oleh Hong Leong Bank bagi jawatannya itu yang diamanahkan dengan wang tunai sebanyak RM9,200 milik seorang individu bernama Haniyah, 50, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan wang tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, Ground & Mezzanine Floor, Wisma Sin Hiap Lee pada 13 Ogos 2017.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











