PARIS – Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi memberi kata dua kepada Neymar dan bintang termahal lain di kelab itu sama ada kembalikan kecergasan atau mereka akan dijual.
Kata pemilik PSG itu lagi, jika pemain yang dibayar dengan gaji yang tinggi ini masih berkelakuan seperti selebriti, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam segala hal.
“Pemain perlu anggap tanggungjawab mereka kini kena lebih daripada sebelumnya. Ia mesti berbeza dari dulu. Kena berusaha lebih dan bekerja lebih keras. Mereka berada di sini bukan untuk berseronok untuk diri sendiri.
“Jika pemain-pemain ini tidak bersetuju dengan saya, pintu sentiasa terbuka untuk mereka pergi. Saya tidak boleh bertolak ansur lagi dengan pemain berstatus selebriti seperti ini. Tanpa perubahan, kelab ini tidak akan ke mana-mana,” kata Nasser dalam satu temubual dengan majalah Perancis.
Walaupun tidak menyebut secara khusus nama Neymar, dipercayai amaran itu ditujukan kepada pemain Brazil berusia 27 tahun itu yang kini sedang berdepan siasatan atas dakwaan merogol seorang model di sebuah hotel di Paris bulan lalu.
Neymar menafikannya namun ini bukan kontroversi pertama membabitkan penyerang termahal dunia itu sepanjang berada di PSG. Dia dilihat sentiasa bergelut dengan masalah hubungan dan kecederaan ketika menjalani kehidupan di Perancis.
Selain bergaduh dengan pemain sekelab yang lain, mulutnya juga celupar dalam mengkritik pengadil perlawanan sehingga mengakibatkan dia digantung tiga perlawanan oleh UEFA dalam saingan kelab Eropah musim depan.
Dia juga bergaduh dengan penyokong bola sepak selepas PSG kalah di final Piala Perancis kepada Rennes 28 April lalu. – AFP











