GUA MUSANG – Mayat salah seorang wanita Orang Asli suku kaum Batek yang meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru dari Kampung Kuala Koh, di sini akan dibawa keluar dari kawasan itu hari ini bagi menjalani proses bedah siasat sekali lagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan bagaimanapun berkata, tempoh masa proses tersebut tidak dapat ditentukan kerana bergantung kepada ritual mengikut adat suku kaum tersebut.
“Semalam kita sudah keluarkan mayat Romi Hamdan, 29, manakala hari ini kita akan mengeluarkan mayat Puja Jong, 21, salah seorang mangsa yang telah dikebumikan mengikut adat masyarakat suku kaum itu.
“Selain itu, pasukan pencari akan ke seberang sungai di kampung tersebut hari ini bagi mengesan empat lagi baki kubur mangsa yang didakwa terkena penyakit itu,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat awal polis, dua daripada kubur terbabit dikatakan terletak berhampiran tebing sungai manakala dua lagi kubur terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari lokasi pertama. – UTUSAN ONLINE










