KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara mara ke pentas separuh akhir Siri Akhir Wanita Banbridge 2019 apabila menewaskan Perancis 3-2 dalam saingan kalah mati di Ireland sebentar tadi.
Kejayaan tersebut membolehkan skuad bimbingan Dharma Raj Abdullah melangkah ke separuh akhir menentang Korea Selatan yang terlebih dahulu mengesahkan slot empat pasukan terakhir selaku juara Kumpulan B.
Perlawanan melibatkan Malaysian Tigress dengan Korea Selatan itu bakal berlangsung pada Sabtu ini pukul 10.30 malam waktu Malaysia.
Ketiga-tiga jaringan Malaysia disumbangkan Nuraini Abd. Rashid pada minit keenam, diikuti Julaini Mohamad Din (m-8) dan Hanis Nadiah Onn (m-15).
Jaringan Perancis pula dilakukan oleh Delfina Gaspari pada minit kesembilan serta Guusje van Bolhuis (m-26).- UTUSAN ONLINE










