PUTRAJAYA – Bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo turut merasai kesedihan Datuk Lee Chong Wei sebaik sahaja suaminya membuat keputusan bersara daripada badminton.
Bagaimanapun, Mew Choo tetap gembira dengan keputusan itu kerana ia akan memberi lebih masa buat Chong Wei meluangkan masa bersama keluarga selepas mengharungi jadual padat sepanjang bergelar atlet.
“Keputusan amat berat untuk dia, tempoh 19 tahun bukan mudah tetapi selepas berdepan banyak kesusahan, ini masa terbaik untuk dia berehat dan menikmati kehidupannya.
“Selepas ini dia juga boleh beri masa kepada anak-anak kerana kita tahu anak membesar hanya sekali dan ini bagus untuk mereka dan paling penting kesihatannya,” kata Mew Choo.
Mengulas mengenai hasrat Chong Wei yang untuk menyelesaikan ‘hutang’ terhadap isterinya kerana belum sempat berbulan madu selepas tujuh tahun berkahwin, Mew Choo berkata, kesihatan suaminya lebih penting.
“Buat masa ini ia tidak penting, apa yang penting adalah kesihatan dia.
“Namun, seingat saya, kali terakhir saya ke luar negara sebagai atlet adalah di Los Angeles (LA), mungkin boleh sana sekali lagi. Mungkin juga Maldives, belum ada perancangan,” ujar Mew Choo yang juga bekas jaguh perseorangan wanita. – UTUSAN ONLINE










