KUALA LUMPUR – Selepas berjaya meraih podium sulungnya di perlumbaan Formula 4 SEA tahun ini, pelumba negara, Muizz Musyaffa tekad untuk mencari keputusan positif di pusingan keempat di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang dijadual berlangsung dari 14-16 Jun depan.
Muizz menamatkan perlumbaan pertama, pusingan ketiga dilitar ini dikedudukan kedua sekaligus menyuntik semangatnya untuk sekurang kurangnya menempatkan diri di kelompok lima terbaik.
Namun, Muizz mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai misi ini kerana persaingan untuk memburu kelompok lima terbaik bakal dicabar pelumba pelumba lain.
“Pusingan keempat di Buriram minggu ini sudah tentu saya mahukan keputusan yang terbaik walaupun perlumbaan yang lepas tidak berapa baik kerana faktor kurang kelajuan dan pecutan serta persaingan yang sengit daripada pelumba lain,”kata Muizz
Prestasi Muizz juga tidak boleh diperkecilkan kerana hampir meraih podium di perlumbaan ketiga dimana beliau menamatkan saingan di kedudukan keempat dibelakang Lucca Allen, Elias Seppanen dan Shihab Al Habsi.
Demi memastikan kariernya dilandasan yang terbaik, Muizz terpaksa berkorban masa untuk meraikan Hari Raya di kampung halaman.
“Untuk Pusingan 4, saya melakukan senaman asas dan berlari untuk mengekalkan stamina dan kekuatan fizikal.
“Sambutan Hari Raya sedikit berbeza kerana saya tidak pulang ke kampung halaman. Tetapi sanak saudara datang untuk meraikan Hari Raya bersama sama,”kata Muizz lagi. – UTUSAN ONLINE










