RAUB – Mayat pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sega yang lemas dua hari lalu dijumpai hari ini dekat Lubuk Biara, di sini.
Mayat Muhammad Muzzafar Shah Mohamad Rozi, 13, ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi ketika dia terjun ke dalam Sungai Jeram Besu petang Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa timbul di tepi sungai selepas tiga hari hilang.
“Mayat mangsa dijumpai pada pukul 5.11 petang tadi dan dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.
Menurutnya, beliau mengucapkan ribuan tetima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak dua hari lalu.
Mangsa dikatakan pergi ke sungai berkenaan untuk merakam gambar bersama dua rakannya kira-kira pukul 4.45 petang Selasa lepas.
Dia dipercayai lemas selepas terjun ke dalam sungai dan dua rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal. – K! ONLINE










