LONDON – Liverpool masih meneruskan minat mereka untuk mendapatkan Nabil Fekir selepas gagal dalam usaha mengikat kontrak pemain Lyon berkenaan pada tahun lalu.
Rundingan yang dilakukan The Reds termasuk menawarkan jumlah £53 juta (RM280 juta) gagal memujuk Lyon melepaskan pemain berkenaan pada musim panas lalu, namun niat tersebut akan diteruskan sekali lagi pada musim panas ini.
Bagaimanapun, difahamkan juara baharu Eropah itu tidak berminat untuk mendapatkan Fekir sekiranya mereka terpaksa membayar jumlah yang sama seperti pada tahun lalu kepada Lyon.
Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa Liverpool mahu mendapatkan Fekir dengan nilai yang lebih rendah untuk dibawa ke Anfield pada musim depan.
Pada masa sama, pengendalinya, Jurgen Klopp masih berminat mendapatkan khidmat penyerang Perancis itu dalam usahanya mencabar Manchester City selepas gagal memenangi Liga Perdana England (EPL) musim lepas.
Menurut laporan media, aksi persahabatan Liverpool menentang Lyon di Geneva pada 31 Julai ini juga bakal menjadi peluang terbaik buat kedua-dua pasukan kembali mengadakan perbincangan terhadap masa depan pemain berusia 25 tahun berkenaan.
Dalam pada itu, perlawanan tersebut juga dilihat bakal menjadi penentu kepada nilai sebenar yang bakal diletakkan oleh Lyon terhadap Fekir. – Agensi










