MADRID – Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin yakin Antoine Griezmann bakal menyertai Barcelona setelah penyerang berkenaan akan meninggalkan Stadium Wanda Metropolitano musim depan.
Pemain skuad antarabangsa Perancis berkenaan telah mengumumkan akan meninggalkan pasukannya selepas lima tahun beraksi bersama Atletico.
Pada masa sama, Griezmann juga sering dikaitkan dengan kelab gergasi La Liga, Barcelona yang telah bersedia untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun berkenaan.
Meskipun belum ada sebarang tawaran rasmi yang dilakukan, namun Gil Marin yakin Barcelona akan menjadi destinasi seterusnya dalam karier Griezmann pada musim depan.
“Semua petanda yang diberikannya amat jelas sekali di mana Griezmann bakal menyertai Barcelona selepas ini.
“Perkara tersebut saya telah tahu sejak bulan Mac lalu. Dia memiliki keinginan untuk mengembangkan bakatnya sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat dunia,” kata Gil Marin.
Sebagai rekod, Griezmann mula menyertai Atletico sejak 2014 daripada Real Sociedad sebelum berjaya membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Europa pada 2018 dengan meledakkan dua gol di pentas final ketika berdepan Marseille. – Agensi










