KUALA LUMPUR 13 Jun – Saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan sentimen lemah serantau dalam keadaan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang terus berlarutan tanpa sebarang penyelesaian, kata para peniaga.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.00 mata untuk ditutup kepada 1,643.74 berbanding paras penutup 1,650.74 pada Rabu.
Indeks utama itu yang dibuka rendah turun 6.66 mata kepada 1,644.08 pagi ini, bergerak antara paras 1,640.30 dan 1,646.22 sepanjang hari dagangan.
Bagaimanapun, suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 397 berbanding 380, manakala 393 kaunter tidak berubah, 718 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM1.60 bilion yang dicatatkan pada Rabu. – BERNAMA










