TEMERLOH – Seorang kontraktor ditahan kerana disyaki memukul isterinya menggunakan kayu batang penyapu selepas berlaku perselisihan faham di rumah mereka di Taman Saga, Mentakab di sini Isnin lepas.
Mangsa yang berusia 29 tahun itu bukan sahaja turut dipukul dengan penyangkut baju dan bulu ayam bahkan dicucuh puntung cerut di bahagian tangan kanan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, tangkapan dibuat terhadap lelaki itu setelah menerima laporan daripada isterinya semalam.
“Siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan naik angin setelah menyedari isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain setelah membaca perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
“Suspek yang berang dengan tindakan isterinya telah bertindak memukul mangsa hingga mendatangkan kesan lebam di bahagian kiri badan, mata kanan dan lengan sebelah kanan,” katanya.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu telah mendirikan rumah tangga hampir enam tahun namun tidak memiliki anak.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini untuk menerima rawatan dan siasatan lanjut akan dijalankan,” ujarnya. – K! ONLINE










