KUALA LUMPUR- Polis mengesahkan menerima laporan daripada Haziq Abdul Aziz hari ini bagi menyangkal tuduhan dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh pengguna laman sosial, Hilman Idham serta lain-lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan itu dibuat kira-kira pukul 2 petang di Balai Polis Kelana Jaya dekat sini.
“Ya, kita ada terima dan akan teliti laporan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu telah memuat naik gambar laporan polis tersebut di laman Facebook miliknya, hari ini.
Dalam laporan itu, Haziq mengulangi tuduhan dari kenyataan terdahulunya bahawa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.
Selain itu, jelas Haziq, Hilman turut memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video yang tular itu dan memintanya berbohong.
Haziq juga mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.-UTUSAN ONLINE










