TAIPING – Sebanyak 480 orang veteran tentera menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas pengorbanan dan sumbangan bakti mereka kepada negara dalam satu majlis hari ini.
Mereka termasuk 24 orang veteran tentera yang mengalami kecacatan akibat tercedera semasa menjalankan operasi.
Majlis penyampaian pingat disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong di Hotel Taiping Perdana di sini.
Chin Tong berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap perjuangan bekas-bekas tentera mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara.
“Pengorbanan veteran tentera tidak pernah dilupakan dan ini merupakan penghargaan mereka yang sangat tinggi.
“Saya berasa bangga dapat menyampaikan penghargaan kepada para veteran ini,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut di sini hari ini.
Sementara pada sidang akhbar, Chin Tong berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada usaha membuka peluang kerjaya kepada veteran muda dan menambah baik bantuan kebajikan kepada veteran yang layak.
Kata beliau, peluang kerjaya kedua ini difokuskan kepada veteran tentera yang berusia antara 28 hingga 35 tahun iaitu yang berkhidmat selama 10 tahun sebagai tentera.
“Kita akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk melihat kesesuaian dan kelayakan.
“Ini kerana pada usia masih muda mereka mempunyai nilai yang tinggi dalam sektor pekerjaan selain memiliki kelebihan kemahiran yang diperolehi semasa berkhidmat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










