KUALA LUMPUR – Sejumlah RM26.08 juta bayaran zakat perniagaan diterima Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) daripada 15 syarikat korporat.
Antara 15 syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan mereka hari ini adalah Bank Islam Malaysia Bhd., Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Nasional Bhd. dan Maybank Islamic Bhd.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, tanpa sokongan dan kesediaan syarikat-syarikat korporat tersebut menunaikan zakat perniagaan mereka sudah tentu program-program yang dijalankan oleh pihak PPZ-MAIWP terutama bagi membantu asnaf tidak akan tercapai.
“Ini juga menunjukkan hebahan berzakat telah mencapai sasaran dan diharapkan lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang akan berbuat demikian pada masa yang akan datang.
“Kita mengharapkan syarikat-syarikat korporat yang mengeluarkan zakat supaya mereka diberikan keberkatan dan ditambah lagi rezeki mereka agar mereka dapat terus memberikan sumbangan kepada PPZ-MAIWP,” katanya sewaktu berucap menyempurnakan Majlis Zakat Korporat 2019 di Bangi di sini hari ini.
Yang hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Sementara itu, jelas Mujahid, setakat bulan Jun tahun ini, PPZ-MAIWP telah menerima kira-kira RM300 juta kutipan zakat dengan sasaran yang ditetapkan pada penghujung tahun ini adalah kira-kira RM710 juta.
“Pada tahun 2023 nanti pula, sasaran kutipan zakat adalah sebanyak RM1 bilion. Sudah tentu untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mengadakan program ‘outreach’ kepada mereka.
“Selain itu, kita mesti meningkatkan keyakinan kepada pembayar-pembayar zakat yang sedia ada dan berpotensi untuk membayar zakat bahawa duit-duit yang diterima ini kita gunakan secara telus bagi memenuhi kehendak tujuh golongan asnaf sekali gus mengeluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan, “ katanya. – UTUSAN ONLINE










