KUALA LUMPUR 13 Jun – Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) serta Pengarah Eksekutif (ED) yang baharu berkuatkuasa 13 Jun 2019.
Pengerusi TM, Rosli Man berkata, lembaga pengarah dan pengurusan TM yakin dengan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan meluas mengenai industri dimiliki oleh Noor Kamarul akan membawa TM ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.
“Kami akan meneruskan perjalanan transformasi dan melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik yang telah dirangka bagi membantu TM berdepan cabaran-cabaran masa kini yang sedang dihadapi dan meletakkan Syarikat pada kedudukan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rosli berkata, Noor Kamarul memiliki pengalaman luas selama 34 tahun dalam menguruskan rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia serta Indonesia, dengan memberi fokus kepada Perkhidmatan-perkhidmatan Rangkaian Tetap, Rangkaian Mudah Alih dan Jalur Lebar Mudah Alih.
Katanya, beliau telah menerajui strategi, perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek daripada rangkaian kawasan baharu (Greenfield network), 3G, 4G hinggalah penggabungan rangkaian Selular.
Noor Kamarul juga merupakan sebahagian daripada barisan pengurusan kanan Celcom Axiata Bhd. (Celcom) yang memacu peningkatan prestasi Celcom dengan mencatatkan pertumbuhan selama 31 suku tahun berturut-turut dari 2003 sehingga Mac 2018.
“Beliau menyertai Celcom pada tahun 2003 sebagai Ketua Pegawai Teknologi yang bertanggungjawab terhadap Pelan Strategik Rangkaian Celcom. Pada tahun 2010, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Teknologi Maklumat & Transformasi yang bertanggungjawab membangunkan pelan transformasi infrastruktur IT, penambahbaikan proses dan pengebilan, rasionalisasi dan optimisasi sebelum ditugaskan sebagai Ketua Pegawai Usahasama Pengendali yang berperanan menguruskan usahasama-usahasama syarikat selular (celco) dengan Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) Domestik, syarikat telekomunikasi (telco) dan celco, penyedia selular asing serta syarikat pengendali antarabangsa bagi perkhidmatan perayauan dan trafik.
“Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelanggan dan Program bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan di setiap saluran interaksi pelanggan sebelum ditugaskan sebagai Ketua Pegawai Projek Khas yang berperanan meneroka projek-projek baharu dan mewujudkan pembuktian konsep,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi (COO) TM, Imri Mokhtar akan meneruskan peranan beliau sebagai COO bagi memacu operasi perniagaan unifi, TM ONE, TM GLOBAL dan Teknologi Maklumat & Teknologi Rangkaian (IT&NT). -UTUSAN ONLINE










