GUA MUSANG – Krisis kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, di sini sehingga meragut 14 nyawa baru-baru ini menyebabkan kawasan tersebut menjadi lokasi paling ‘digeruni’ penduduk setempat ketika ini.
Rata-rata penduduk di kawasan yang berjiran dengan Kampung Kuala Koh iaitu Felda Aring 10 serta beberapa Felda lain resah memikirkan kemungkinan penyakit radang paru-paru yang menyerang masyarakat itu merebak ke kawasan penempatan mereka.
Malah, para pengusaha premis makanan dan penjaja kecil di sepanjang Jalan Felda Aring turut terjejas apabila orang ramai dikatakan tidak berani singgah untuk menjamu selera di kedai atau gerai mereka kerana khuatir terkena penyakit sama.

Seorang penjaja, Nor Ain Meli, 24, berkata, sejak kematian 14 Orang Asli suku Batek tersebar beberapa hari lalu, perniagaan makanan ringan secara kecil-kecilan diusahakan dia bersama seorang lagi rakan di Felda Aring 1, di sini mula merosot.
“Walau pun felda ini agak jauh dari Kampung Kuala Koh, orang ramai tetap berasa bimbang kerana penyakit itu dikatakan menular menerusi udara.
“Walau bagaimanapun, gerai saya tetap akan beroperasi seperti biasa kerana hanya ini satu-satunya sumber pendapatan yang saya ada. Kami akan memastikan kebersihan makanan di gerai kami terjaga,” katanya yang merupakan ibu tunggal, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Nor Faslina Zakaria, 30, dia gusar selepas krisis kesihatan itu berlaku kerana empat anaknya masih kecil, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit seperti radang paru-paru.
“Sehingga sekarang, pihak berkuasa sendiri belum mendedahkan apa penyebab sebenar radang paru-paru yang menyerang Orang Asli suku Batek.
“Lebih baik saya dan suami ambil langkah berjaga-jaga dengan cara kurangkan bawa anak keluar dari rumah serta elak daripada makan atau minum di luar,” katanya.

Seorang peneroka, Samsudin Mat, 65, pula menggesa pihak berkuasa segera mengumumkan maklumat terperinci mengenai penularan wabak tersebut supaya penduduk di sekitar kawasan yang terjejas lebih berwaspada.
“Buat masa ini saya tertanya-tanya ini apakah penyakit yang melanda Kampung Kuala Koh, apa puncanya dan bagaimana kami boleh mengelak terkena sakit yang sama. Jika tidak dimaklumkan secepat mungkin, saya bimbang ada penduduk di lokasi lain pula menjadi mangsa,” katanya.
Semalam, susulan kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek dipercayai akibat radang paru-paru baru-baru ini, polis mengisytiharkan penempatan masyarakat itu di Kampung Kuala Koh sebagai zon merah dan bertindak membuat sekatan di pintu masuk kawasan terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, sekatan jalan di Felda Aring 10 tersebut adalah satu bentuk kawalan bagi mengurangkan risiko jangkitan dengan cara menghalang kemasukan orang luar. – UTUSAN ONLINE











