Piagam UMNO-Pas diisytihar hujung Julai - Utusan Malaysia

Piagam UMNO-Pas diisytihar hujung Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pengisytiharan dokumen rasmi Piagam UMNO-Pas akan dibuat pada penghujung Julai ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, proses pembentukan dokumen itu kini memasuki fasa akhir dengan mesyuarat jawatankuasa induk kali kedua yang dianggotai 11 wakil daripada setiap parti dijadualkan pada awal bulan hadapan.

Beliau berkata, biarpun segala cadangan yang mahu dimuatkan dalam piagam itu dibincangkan secara berasingan di peringkat jawatankuasa teknikal kedua-dua parti namun yang menariknya isi kandungannya tidak jauh berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawatankuasa teknikal sama-sama peringkat Pas bincang dan UMNO bincang cadangan-cadangan piagam.

“Menariknya apabila semua dibincang hampir semuanya sama, apa yang Pas hasrat dan UMNO hasrat hampir sama, bezanya (susunan) nombor sahaja tapi isi kandungannya sama,” katanya di majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Putik, Pengkalan Chepa di sini hari.

Tuan Ibrahim berkata, jawatankuasa teknikal di peringkat parti dianggotai lima ahli termasuk beliau sebagai Pengerusi sudahpun bermesyuarat sebanyak dua kali manakala, rakan sejawatannya, Datuk Seri Mohamad Hassan bagi pihak UMNO.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, satu usul akan dibahas dalam Muktamar Tahunan Pas pada bulan ini berhubung kerjasama politik dengan UMNO tersebut untuk mendapat mandat ahli.

“Ini prosedur biasa parti, tapi secara keseluruhan respon adalah positif dan tak timbul masalah, apa-apa isu melibatkan polisi kita bincang melalui Majlis Syura, dan strategi politik kita bincang dalam jawatankuasa parti,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini