ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kesal dengan tindakan segelintir pemimpin parti politik di negeri ini yang menggunakan kedudukan bagi membantu rakan-rakan serta individu berkepentingan dengan mereka, untuk mengelak daripada membayar cukai.
Berikutan itu, titah baginda, kerajaan negeri kerugian kira-kira RM26.4 juta setiap tahun akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.
Titah baginda, sekiranya tidak berlaku perkara sedemikian, kerajaan negeri sepatutnya mampu memperolehi sebanyak RM128.9 juta melalui penguatkuasaan cukai.
Baginda walau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut ahli politik yang terlibat.
“Ahli politik itu masuk campur dalam pentadbiran sehingga kerajaan negeri kekurangan kewangan akibat penguatkuasaan kutipan cukai tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Mereka (ahli politik) telefon bercakap dengan pengarah (agensi kerajaan negeri), minta tolong agar rakan mereka itu diberi tempoh antara tiga ke lima bulan (daripada membayar cukai).
“Secara logiknya jika sudah tidak mampu bayar cukai untuk selama beberapa bulan, pasti dia tidak akan bayar untuk bulan-bulan seterusnya jika tempoh pembayaran tunggakan dilanjutkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenaan menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai lapan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis sempena Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Exco bagi 2019 di Balai Mengadap Bilik Hijau, Istana Arau di sini hari ini.
Kesemua Exco berkenaan dikekalkan jawatan masing-masing selepas setahun pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Sementara itu, baginda menyeru agar kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dan hubungan baik dengan merajaan Pusat demi kebaikan rakyat di negeri ini.
Titah baginda, adalah mustahil bagi Perlis berdikari tanpa mengharap sebarang bantuan daripada kerajaan Persekutuan.
“Perlis bukanlah begitu kaya seperti negeri-negeri lain, kutipan cukai juga terhad dan ditambah pula Perlis ditadbir oleh BN, manakala Persekutuan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Perkara ini bukanlah satu masalah yang besar kerana Persekutuan pun mahu menjalinkan hubungan baik dengan kita, malah adalah mustahil untuk Perlis berjuang sekiranya tidak menjalinkan kerjasama dengan Persekutuan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE










