SHAH ALAM – Polis mengesahkan nilai keseluruhan barang kemas yang dirompak di sebuah kedai emas di Pusat Komersil Seksyen 7 di sini, Jumaat lalu dianggarkan bernilai RM7 juta.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, nilai itu diperoleh hasil siasatan pihaknya yang mendapati kira-kira 40 kilogram (kg) barang kemas telah dilarikan kumpulan penjenayah itu.
“Berdasarkan hasil siasatan awal mendapati harga pasaran semua barang kemas itu berkenaan dianggarkan kira-kira RM7 juta.
“Bagaimanapun, siasatan menyeluruh masih dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya pada sidang akhabar di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, sekumpulan penjenayah profesional melarikan barang kemas bernilai lebih RM5 juta selepas memecah masuk sebuah kedai emas melalui saluran angin sebelum memanjat siling dan menebuk pintu bilik kebal dalam kejadian di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu iaitu pada hari raya ketiga dan hanya disedari oleh pemilik premis kira-kira pukul 10 pagi kelmarin selepas ditutup seminggu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Baharudin menambah, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan jenayah itu dilakukan oleh individu yang profesional.
Jelasnya, ini berikutan modus operandi yang digunakan suspek ketika memasuki premis sehingga merompak barang kemas tersebut.
“Kita masih mengumpul bukti bagi mengesan semua suspek terlibat,” katanya. – K! ONLINE










