ALOR SETAR – Sebanyak 27,000 tan sisa makanan dibuang oleh penduduk di negeri ini dan Perlis sepanjang Ramadan lalu, menjadikan peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding hari biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn. Bhd. (EISB), Ir. Mhd. Shaiful Anuar Zainal berkata, peningkatan sisa berkenaan daripada 700 tan sehari kepada 900 tan sudah dijangka pihaknya pada setiap kali Ramadan.
Menurutnya, sisa tersebut juga merupakan 45 peratus daripada penjanaan keseluruhan sampah atau sisa pepejal yang dikutip EISB bagi tempoh itu.
“Kutipan semua jenis sampah mencapai sehingga 2,000 tan setiap hari sepanjang tempoh itu iaitu peningkatan kira-kira 20 peratus daripada 1,800 tan sehari sebelum Ramadan lalu,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka EISB di Stargate di sini, hari ini.
Sementara itu, Mhd. Shaiful Anuar berkata, bagi mengurangkan kadar pengurangan sisa pepejal ke tapak pelupusan, pihaknya akan menambah 18 lagi Pusat Komuniti Lestari di seluruh negeri Kedah dan Perlis.
Katanya, pusat itu akan dibuka secara berperingkat dalam usaha membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu yang diyakini mampu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Setakat ini kita sudah ada empat pusat berkenaan iaitu di Taman Tunku Sarina, Jitra, Kulim, Pulau Tuba, Langkawi dan Yan. Semua pusat itu sudah beroperasi kecuali di Yan yang akan beroperasi tidak lama lagi.
“Pada masa sama kita akan melantik 18 usahawan muda dibawah umur 35 tahun untuk menguruskan pusat ini dengan bimbingan yang sistematik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










