KUALA LUMPUR – “Buat sementara waktu ini, tiada sesiapa digantung (jawatan) kerana kami perlu menunggu laporan siasatan pihak polis.”

Demikian maklum balas Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen ketika ditanya sama ada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdul Aziz perlu digantung jawatan dalam parti berikutan terpalit dalam kontroversi video seks bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.
Menurut William, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan semalam.
“Tidak adil jika kita ambil tindakan tanpa mempunyai fakta, jadi kita tunggu laporan siasatan polis.
“Kami dimaklumkan siasatan telah bermula dan kita akan melihat perkembangannya dalam beberapa hari lagi.
“Kami ingin berlaku adil kepada semua,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) di Parlimen, di sini hari ini.
Kelmarin, tular dalam laman sosial mengenai rakaman video intim membabitkan dua lelaki yang seorang daripadanya didakwa menteri Kabinet.
Semalam, lelaki yang dikaitkan dengan video tersebut tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu. – UTUSAN ONLINE










