KUALA LUMPUR – Parti Gerakan memuji tindakan pantas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berhubung siasatan terhadap seorang menteri Kabinet yang didakwa terpalit dengan aktiviti rasuah.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah profesional dan pantas Latheefa terhadap laporan yang dilakukan telah membuktikan bahawa bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu berkemampuan mengemudi SPRM.
Namun begitu, Dominic turut mengingatkan Latheefa supaya turut membuka semula kertas siasatan melibatkan kes rasuah yang telah dicadangkan Gerakan sebelum ini termasuk kes banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang serta dua Exco Kerajaan Negeri Johor yang didakwa diberi kondominium mewah.
“Gerakan juga mencadangkan selain menyiasat kes rasuah melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada kerajaan terdahulu, SPRM juga sepatutnya menyiasat beberapa skandal salah guna kuasa lain yang berlaku.
“Sebagai contoh skandal rasuah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini dan beberapa laporan yang mendakwa Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sepanjang dirinya menjadi Ketua Menteri Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Latheefa Koya dalam kenyataan semalam memberitahu SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa susulan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mengatakan seorang menteri Kabinet terpalit dengan kes rasuah.
Lokman Noor sebelum itu membuat satu laporan SPRM berhubung tuduhan bahawa menteri tersebut menerima sejumlah AS$741.440 (RM3.08 Juta) daripada satu konglemerat pada Disember 2017. – UTUSAN ONLINE










