JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mencatatkan 52 kes wabak denggi berlaku di Taman Sri Lambak, Kluang yang bermula 11 Mei lalu hingga kini.

Pengarah Kesihatan Johor Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, sepanjang tempoh tersebut satu kes kematian dilaporkan pada 9 Jun lalu.
Jelas beliau, wabak itu kebanyakannya berlaku di sekitar Jalan Yakin, di perumahan berkenaan dengan kes pertama dikesan pada 9 Mei.
“Tiga daripada kes tersebut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
“Hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di kawasan wabak mendapati punca utama kejadian adalah disebabkan pembiakan aedes yang tinggi di kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Dr. Selahuddeen, rumah-rumah kosong yang bersemak-samun dan kurangnya kerjasama penduduk semasa aktiviti semburan kabus dilaksanakan anggota kesihatan merupakan antara faktor penyumbang utama wabak berkenaan.
Beliau berkata, antara faktor lain termasuk penjagaan kebersihan persekitaran kediaman yang tidak memuaskan di mana pembiakan aedes masih ditemui walaupun pemilik sudah dikenakan kompaun sebelum ini.
Katanya, pihak Jabatan Kesihatan sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk membanteras penularan demam denggi, termasuk melakukan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan bermula tarikh notifikasi sehingga kini. – UTUSAN ONLINE










