Pemandu lori ditahan ketika cuba lari dari sekatan polis - Utusan Malaysia

Pemandu lori ditahan ketika cuba lari dari sekatan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang pemandu lori ditahan polis selepas dia melarikan diri kira-kira lima kilometer dari sekatan jalan raya Ops Selamat Ke-15 di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, suspek berusia 37 tahun itu juga bertindak merampas pistol milik anggota trafik ketika mereka bergelut di sebuah restoran di Taman Soon Choon sebelum dia diberkas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, lelaki yang memandu lori membawa muatan barangan terbuang itu dipercayai membuat pusingan U di Jalan Sultan Nazrin Shah selepas melihat sekatan jalan raya di jalan tersebut sebelum memecut kenderaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua anggota trafik kemudian bertindak mengejar dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya namun dia enggan berbuat demikian dan terus memecut kenderaan sejauh kira-kira lima kilometer.

“Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang didakwa anak suspek telah terjatuh dari lori dan tercedera ringan menyebabkan suspek memberhentikan kenderaan namun melarikan diri ke sebuah restoran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohd. Ali, berlaku pergelutan antara suspek dan polis trafik dan suspek cuba merampas pistol anggota namun dia akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu melulu dan berbahaya dan dia disaman mengikut Seksyen 26(1) akta sama kerana tidak memilik lesen memandu.

“Dia turut disaman di bawah Seksyen 15(1)(a) APJ 1987 kerana cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh selain turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan apabila menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. 

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah curi dan dadah serta mempunyai waran tangkap trafik kerana gagal menunjukkan lesen memandu. 

Menurutnya, anggota turut membelikan makanan serta pakaian baru kepada kanak-kanak itu sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Gopeng.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini