SUNGAI PETANI – Seorang wanita maut manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang tiga Kampung Che Bema, Jalan Lencong Barat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Azura Abu Kasim, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.
Anak mangsa, Qashiqa Sofea Fadilee, 9, yang cedera pada rusuk kiri dan kepala dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku apabila penunggang motosikal terbabit dipercayai keluar dari simpang tanpa berhenti dan terus masuk ke lorong kanan sebelum berlaku perlanggaran dengan MPV jenis Proton Ertiga.
“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke lorong kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius pada kepala manakala pembonceng cedera pada rusuk kanan dan bahagian kepala.
“Pemandu Proton Ertiga yang merupakan seorang jururawat lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- K! ONLINE










