Pemandu lori loloskan diri dari sekatan jalan berjaya ditangkap - Utusan Malaysia

Pemandu lori loloskan diri dari sekatan jalan berjaya ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang pemandu lori ditahan selepas memandu secara laju dan berbahaya sejauh lima kilometer ketika cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya Op Selamat Ke-15 di Jalan Sultan Nazrin Shah, menghala ke bandar raya ini semalam.

Dalam sekatan jalan raya dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang, pemandu lori berkenaan enggan memberhentikan kenderaan sebaliknya melakukan pusingan U apabila dikejar oleh dua anggota polis trafik bertugas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, semasa proses mengejar, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang diakui sebagai anak suspek, telah terjatuh dari lori berkenaan menyebabkan suspek memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke sebuah restoran di Taman Soon Choon di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd Ali berkata, telah berlaku pergelutan serta cubaan merampas senjata api anggota polis ketika suspek ditangkap dengan bantuan orang ramai di restoran berkenaan, malahan proses tangkapan itu telah dirakam serta ditularkan dalam media sosial.

“Hasil siasatan mendapati suspek memiliki enam rekod kesalahan lampau termasuk dihukum dua kali di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga memiliki waran tangkap trafik iaitu gagal menunjukkan lesen memandu pada tahun 2013,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd Ali, kanak-kanak berkenaan bagaimanapun berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami luka ringan.

Malahan katanya, kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke rumahnya di Gopeng selain diberikan makanan serta pakaian baharu oleh anggota polis.

Suspek disiasat di bawah beberapa kesalahan termasuk memandu secara melulu dan membahayakan, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini