Lee Chong Wei umum bersara - Utusan Malaysia

Lee Chong Wei umum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini mengumumkan untuk ‘menggantung raket’ selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Pengumuman mengenai persaraannya itu dilakukan dalam satu sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Menteri Steven Sim dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada sidang akhbar dihadiri media tempatan dan luar negara tersebut, pemain berusia 36 tahun itu dalam nada sebak dan dilihat mengalirkan air mata, berkata ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan kerana beliau sangat sayangkan sukan badminton yang diceburinya sejak berusia 10 tahun.

“Hari ini, semua orang tahu saya mahu mengumumkan persaraan saya selepas 19 tahun dalam BAM. Memang berat untuk saya buat keputusan ini, kerana saya amat menyintai sukan ini. Tapi buat masa sekarang apa yang penting untuk saya sekarang adalah kesihatan saya. 

“Saya berehat selama sebulan selepas pemeriksaan di Taiwan pada April dan berbincang dengan isteri saya dan keluarga mengenai keputusan ini. Saya juga berbincang dengan Datuk Norza dan YB Syed Saddiq, dan memutuskan untuk membuat pengumuman selepas Hari Raya.

“…lebih penting ialah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua media yang sokong saya sepanjang 19 tahun karier saya. Bukan senang saya selalu pakai baju Gemilang Malaysia dan ke beberapa tempat untuk bermain di pelbagai kejohanan. Saya berbangga dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk negara saya.

“Banyak orang lagi saya mahu berterima kasih. Saya hendak ucap terima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan lebih penting BAM. Terima kasih istimewa kepada semua jurulatih saya terutamanya Datuk Misbun (Sidek) yang membentuk saya, Hendrawan, Sew Bock yang banyak ikut saya serta pegawai ISN.

“…dan terima kasih juga kepada keluarga, isteri saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya bertarung demi negara,” katanya dalam linangan air mata, sekali gus mengundang suasana sedih dalam kalangan mereka yang berada pada sidang akhbar itu.

Chong Wei menjelaskan, bahawa selepas menjalani pemeriksaan pada April lepas, doktor yang merawat beliau memintanya untuk terus berehat daripada menjalani latihan berat. – Bernama

Chong Wei tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan persaraannya hari ini. Foto oleh Bernama
Chong Wei tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan persaraannya hari ini. Foto oleh Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini