PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke United Kingdom pada 15 hingga 17 Jun ini dalam usaha mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur-London.

Menurut Wisma Putra, Dr. Mahathir akan diiringi oleh isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Jelasnya, semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara’ di Cambridge Union pada Ahad ini, dijangka dihadiri tokoh-tokoh terkemuka, ahli-ahli akademik dan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi di UK.
“Perdana Menteri juga dijadual bertemu para pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC) serta rakyat Malaysia yangmenetap di UK dalam majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

“Perdana Menteri juga akan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Human Life Advancement Foundation (HLAF), sebuah pertubuhan antarabangsa yang aktif dalam bidang pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan mampan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Wisma Putra lagi, dalam usaha kerajaan menarik pelaburan asing ke Malaysia, Perdana Menteri akan bertemu dengan pemain-pemain utama industri di UK bagi mengenal pasti bidang-bidang kerjasama untuk mengukuhkan hubungan dua hala.
Jelasnya, dalam tempoh 10 tahun lalu, perdagangan antara Malaysia dan UK merekodkan pertumbuhan sebanyak dua peratus setahun dengan nilai dagangan tahunan antara RM12 bilion hingga RM17 bilion.
“Lawatan kerja Perdana Menteri ini untuk memastikan hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan

UK kekal utuh demi kebaikan kedua-dua negara,” jelas Wisma Putra. – UTUSAN ONLINE










